“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Q.S. Fussilat: 30)

Friday, 10 August 2012

YUSUF ANTARA DUKA DAN CAHAYA KEHIDUPAN



Sekumpulan kafilah Madyan sedang meredah padang pasir yang luas.  Setelah beberapa lama, mereka berhenti  berhampiran Yusuf dicampakkan. Mereka menyuruh para khadam mengambil air untuk keperluan mereka. Timba mereka dihulurkan ke dalam telaga itu. Alangkah terperanjatnya mereka apabila timba itu diangkat, didapati seorang kanak-kanak cantik bergayut pada timba itu. Mereka semua amat terkejut, seolah-olah melihat Adam pada hari penciptaan dan peniupan rohnya. Ketampanannya seperti cahaya di siang hari. Kulitnya putih, wajahnya tampan, rambutnya ikal, matanya luas, hidungnya mancung, dipipinya ada tahi lalat hitam.

Lelaki yang menemui yusuf itu amat gembira. Dia membawa Yusuf kepada kafilahnya dan membawa Yusuf bersama mereka.  Dalam perjalanan, Yusuf melihat kubur ibunya. Beliau tidak dapat mengawal perasaan lalu terjun dari unta, tertiarap di atas kubur ibunya. Yusuf meratap semahunya.

“Ibu! Lihatlah apa yang telah mereka lakukan kepada anakmu ini. Apakah yang menimpaku selepas engkau tiada? Oh ibu! Mereka membuang bajuku, dan melimparkan aku ke dasar perigi yang gelap. Mereka tidak menyayangi aku, mereka menjadikan aku hamba. Aku telah menjadi hamba … sesungguhnya aku adalah hamba … hamba ibu!”

Lelaki Madyan itu menghampiri Yusuf dan menariknya bangun. Yusuf menangis.

“Ibu! Ibu! Aku telah menjadi hamba ibu! Hamba …! Hamba!”

Suasana ketika itu amat menyayat hati, kepiluan menyelubungi jiwanya.

Kafilah Bani Ismail melintasi Jal’ad dan bertemu kafilah Madyan di bumi Syakim. Di situ kafilah Madyan telah menawarkan Yusuf kepada Bani Ismail. Mereka membelinya dengan harga yang murah sahaja, lapan dirham.

Bani Ismail adalah golongan zuhud. Kafilah ini terus berangkat ke Mesir dengan membawa Yusuf bersama-sama mereka. Salah seorang dari mereka dapat merasakan bahawa kanak-kanak lelaki yang mereka beli itu ialah anak bapa saudara mereka, Nabi Ya’aqub. Mereka dapat mengagaknya kerana Yusuf bercakap dalam bahasa ’Ibri; bahasa orang Kan’an.

Nabit bin Ismail adalah penjaga Baitullah setelah kewafatan Nabi Ismail, menganggap kafilah Madyan dan Ishaq serta anak-anak keturunan Ismail yang lain sebagai waris tiupan rohani yang akan menghilangkan dari manusia sifat kebendaan yang menyesatkan untuk membina satu tamadun sejagat di atas asas agama. Cita-citanya pada masa yang akan datang begitu besar. Walaupun mereka terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang berpecah tetapi mereka tetap seiring menuju kepada matlamat yang satu. Membina satu kumpulan masyarakat yang bersatu dan kuat untuk menyeru ke jalan Allah. Ini merupakan impian ketua Bani Ismail itu, tetapi peristiwa-peristiwa yang berlaku menjauhkan mereka daripada mencapai impian ini.

Bahasa Bani Ismail, madyan dan Ishaq adalah sama. Mereka adalah dari golongan yang beriman. Bahasa percakapan mereka adalah bahasa arab, kecuali Bani Israel. Bani Israel telah mengambil bahasa ‘Ibri dari orang Kan’an, sekalipun mereka sebahagian daripada bangsa Arab. Di sinilah bermulanya perpecahan dan perselisihan di kalangan anak cucu Nabi Ibrahim.

Kafilah Bani Ismail terus bergerak, meredah jalan yang panjang. Mereka berhenti rehat di Josyen. Di sini mereka melalui tempat-tempat penyembahan Basanta, tuhan keseronokan dan penentu musim-musim. Mereka berhadapan dengan kemungkaran yang begitu berleluasa. Mereka menundukkan pandangan. Mereka melihat diri mereka daripada  terjatuh ke dalam dosa-dosa, yang hanya semata-mata kerana ingin memenuhi keinginan nafsu yang melalaikan.

Yusuf memasuki Mesir sebagai seorang hamba dengan perasaan duka, sebagaimana keluarnya Hajar dari mesir sebagai hamba dengan perasaan yang sedih.

Itulah kehendak Allah. Allah Maha Mengetahui dan berbuat apa yang dikehendakiNya.

Kafilah itu kini sampai di Awaris. Yusuf menjejaki negeri itu sebagai seorang hamba yang hina sebagaimana yang dilalui oleh nendanya Sarah sebelum itu. Pandangannya bertukar ganti. Pada istana-istana, tiang-tiang batu dan tempat-tempat penyembahan. Fikirannya berlegar-legar, cuba mengingati sejarah kedatangan datuknya Nabi Ibrahim ke negeri ini suatu waktu dahulu. Dapatkah dia memberitahu kepada kaum itu bahawa dia adalah cucu kepada lelaki yang diberkati itu. Seorang lelaki yang banyak memberi bimbingan kepada mereka. Adakah mereka akan mempercayainya?

Akhirnya Yusuf mengambil keputusan mendiamkan diri sahaja. Siapakah yang akan mempercayai cucu Nabi Ibrahim dijual di pasar hamba?

Yusuf dimandikan dan dipakaikan baju baru lalu dibawa ke pasar. Dengan wajahnya yang tampan, ramai orang berebut-rebut untuk membelinya, sehingga datanglah Qatfir, pegawai kerajaan Mesir dan Ketua Menterinya untuk membeli Yusuf.

Orang ramai saling tawar-menawar harganya.

“Aku akan bayar harganya dengan kasturi, wang dan sutera,” tawar Qatfir.

Yusuf akhirnya dijual pada Qatfir. Bani Israel gembira dengan harga tersebut. Mereka sangat memerlukan wang untuk diberi kepada Qhaidar yang menghabiskan sebahagian malamnya dengan sembahyang, mengajar cara-cara penulisan dan membaca suhuf Ibrahim  demi pembelajaran anak-anak mereka. Yusuf dibawa pulang oleh Qatfir.

“Muliakan dia. Dia akan memberi manfaat kepada kita atau kita jadikannya sebagai anak angkat,”  
Kata Qatfir kepada isterinya dengan gembira.

Kehadiran Yusuf telah memberikan cahaya dalam kehidupan mereka.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
  • Islam Agama Benar
    Kelembapan Kejayaan
    Organisasi Wajar Diperkukuhkan
    Dakwah Yang Diredhai
    Panglima Memahami Kelibat Musuh
    Menuju Kejayaan
    Pesanan Kepada Penyokong Kesesatan
    Ucapan Presiden Selepas Rampasan Kuasa


    more free widgets

    more free widgets
    blink