Dosa-dosa yang dipandang ringan oleh manusia
Dalam al-Sunnah disebutkan beberapa perkara yang di haramkan sebagaimana dalam sabda Nabi s.a.w.:
“Sesungguhnya Allah mengharamkan penjualan khamar (arak) bangkai, babi, dan patung-patung.” (Hadith riwayat Abu Daud)
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya jika Allah mengharamkan sesuatu, ia mengharamkan (pula) harga (penjualannya).” (Hadith riwayat Daruquthni)
Dalam sebahagian nas terkadang disebutkan pula beberapa jenis yang diharamkan, seperti makanan yang dirincikan Allah dalam firmanNya:
“Diharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, (haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukuli, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala, dan (diharamkan pula) mengundi nasib dengan anak panah.” (Q.S.Al-Maidah: 3)
“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan sudara-saudara susuan kamu…” (Q.S.Al-Nisa’: 23)
Dalam perkara usaha, Allah juga menyebutkan perkara-perkara yang diharamkan.
Allah s.w.t. berfirman:
“Dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba…” (Q.S.Al-Baqarah: 275)
Kemudian Allah Yang Maha Pengasih terhadap hambaNya menghalalkan untuk kita perkara-perkara yang baik yang tidak terhitung banyak dan jenisnya.
Oleh sebab itu Allah tidak memberikan secara terperinci perkara-perkara yang halal dan diharuskan, kerana semua itu tidak terhitung banyaknya. Allah menerangkan secara terperinci perkara-perkara yang diharamkan kerana itu boleh dihitung, sehingga kita mengetahui dan menjauhinya.
Allah s.w.t. berfirman:
“Sesunnguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkanNya atasmu, kecuali apa yang terpaksa kamu memakannya…” (Q.S.Al-An’am: 119)
Adapun perkara-perkara yang dihalalkan maka Allah menerangkannya secara umum, yakni selama perkara itu sesuatu yang baik.
Firman Allah s.w.t.:
“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi…” (Q.S.AlBaqarah: 168)
Adalah termasuk di antara rahmat Allah bahawa Ia menjadikan dasar segala sesuatu adalah halal sehingga terdapat dalil yang mengharamkannya. Perkara ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t. Maha Pengasih dan Maha Luas RahmatNya atas segenap hambaNya. Oleh sebab itu, kita wajib taat, memuji dan bersyukur kepadaNya.
Sebahagian manusia, jika mereka menyaksikan perkara-perkara yang haram dihitung dan diperjelaskan kepada mereka, jiwanya tiba-tiba terasa sesak kerana keberatan terhadap hukum-hukum syariat. Ini menunjukkan betapa lemah iman dan betapa sedikit pemahaman mereka terhadap syariat.
Apakah mereka menginginkan agar diperincikan bahawa daging sembelihan dari unta, lembu, kambing, kijang, kambing hutan, ayam, burung dara, angsa, itik, burung unta, semua itu halal? Bangkai belalang serta ikan juga halal? Dan sayur-sayuran, rempah ratus, buah-buahan dan semua biji-bijian serta hasil tanaman yang bermanfaat halal? Dan bahawa air, susu, madu, minyak dan cuka halal? Garam rempah ratus dan bumbu-bumbu halal? Lalu menggunakan kayu besi, pasir, batu kerikal, plastik, kaca serta getah halal?
Mengenderai haiwan, kereta, kereta api, kapal laut dan kapal terbang halal?
Lalu menggunakan tandas, mesin basuh, alat pengering, mesin pengiling tepung, mesin pencincang daging, pengisar serta pelbagai jenis peralatan perubatan, teknik, alat mengira, astronomi, kejuruteraan, alat mengepam air, penggalian minyak, alat penyaringan, pertambangan, penyulingan air, percetakan dan computer perlu diperincikan bahawa semua itu halal?
Kemudian memakai pakaian dari bahan kapas, bulu, kain lena kulit yang diperolehkan, nilon dan polister perlu dijelaskan sebagai sesuatu yang halal?
Dasar hukum pernikahan, jual beli, kafalah (penanggungan), hawalah (Pengiriman), sewa menyewa, semua jenis kemahiran dan keahlian seperti tukang kayu, tukang besi, mekanik, menggembala kambing, semua perlu diterangkan sebagi pekerjaan yang halal?
Mungkinkah kita boleh menyelesaikan dalam menghitung dan memperincikan perkara-perkara yang dihalalkan? Sungguh mereka itu adalah orang-orang yang hampir tidak memahami perkataan.
Adapun dalih mereka bahawa agama itu mudah, ucapan tersebut adalah benar tetapi diselewengkan dan disalahgunakan.
Makna mudah dalam agama, tidaklah bererti disesuaikan menurut hawa nafsu dan pendapat manusia tetapi kemudahan itu disesuaikan menurut tuntutan syariat.
Sesungguhnya sangat besar perbezaan antara melanggar perkara-perkara yang diharamkan lalu berdalih secara batil bahawa agama adalah mudah dengan menerapkan keringanan-keringanan yang diberikan oleh syariat seperti dengan melakukan jama’ dan qasar dalam salat dan berbuka puasa ketika musafir, mengusap (khauf) kasut dan stoking bagi bagi orang mukmin sehari semalam dan bagi yang musafir tiga hari tiga malam, tayamum ketika takut bahaya kalau menggunakan air, jama’ antara dua salat bagi orang sakit dan ketika sedang turun hujang lebat, boleh memandang kepada wanita bukan mahram untuk tujuan meminang, memilih dalam kaffarah (denda) sumpah antara memerdekakan budak, mencari makan orang miskin atau memberinya pakaian, memakan bangkai ketika dalam keadaan dharurat atau rukhsah-rukhsah (keringanan syariat lainnya.
Di samping perkara-perkara yang telah disebutkan, setiap muslim hendaklah mengetahui bahawa diharamkannya beberapa perkara tersebut terdapat hikmah yang besar di dalamnya di antaranya:
1. Allah s.w.t. menguji segenap hambaNya dengan perkara-perkara yang diharamkan tersebut, lalu Dia melihat bagaimana sikap mereka terhadapnya.
2. Di antara sebab perbezaan penduduk syurga dengan penduduk neraka adalah para penduduk neraka telah tenggelam dengan syahwat yang dengannya neraka dikelilingi.
3. Para penduduk syurga bersabar atas berbagai perkara yang dibencinya yang dengannya syurga dikelilingi.
Jika tidak kerana ujian ini tentu tidak akan dapat dibezakan antara pelaku maksiat dengan orang taat.
Orang-orang beriman melihat beratnya kewajiban dengan semata-mata mengharap pahala dan ketaatan terhadap perintah Allah sehingga berharap mendapat redhaNya. Dengan demikian kewajiban itu terasa ringan. Berbeza halnya dengan orang-orang munafik, mereka melihat beratnya kewajiban dari sudut kepedihan, kesal dan pembatasan sehingga kewajipan itu terasa berat untuk mereka lakukan dan ketaatan menjadi sesuatu yang sangat sukar.
Dengan meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan, orang yang taat akan merasakan buah manisnya; kerana sesiapa meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah akan menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya, lalu mendapatkan kelazatan iman di dalam hatinya.
Dalam risalah ini, pembaca akan mendapati beberapa perkara (perbuatan) yang diharamkan yang pengharamannya jelas di dalam syariat disertai keterangan dalil dari Al-Quran dan Al-Sunnah di mana sebahagian ulama telah menulis kita yang membicarakan tentang masalah ini, dan salah sebuah yang terbaik adalah kitab Tanbihul Ghafilin karangan Ibnu Al-Nuhas Al-Dimasqi, semoga Allah merahmatinya.
Perkara-perkara yang diharamkan ini merupakan sesuatu yang sering berlaku dan umum dilakukan oleh sebahagian besar kaum muslimin. Ingin dinyatakan perkara-perkara tersebut dengan tujuan memberi keterangan dan nasihat.
Hanya kepada Allah kita memohon petunjuk taufik serta kekuatan untuk selalu menjauhi laranganNya, untuk diri saya sendiri dan untuk segenap umat Islam. Dan mudah-mudahan Dia menjauhkan kita dari perkara-perkara yang diharamkan serta menjaga kita dari perkara-perkara yang buruk. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia Maha Penyayang di antara para penyayang.
Dosa-dosa yang dipandang ringan oleh manusia, antaranya:
Bersambung…